Kisah : Kau Sanggup ?




"Kau sanggup?Dia bertanya. Terdiam aku seketika saat ditanya sebegitu.

Aku berkira-kira untuk menjawab. Masih mencari jawapan tepat dan pasti. Andai dijawab tidak, khuatir diri dianggap tidak serius. Dan perkara yang paling tidak suka didengari di seusiaku ini adalah andai diri dianggap tidak matang.

Aku diam memberi ruang kepada minda untuk berfikir. Dia masih menanti sambil tangan mencatat sesuatu pada sehelai kertas.

"Insha-Allah, andai itu yang perlu saya lakukan. Saya sanggup."  Terasa perih untuk menuturkan kata-kata itu. Dia mengangguk.


"Apa yang kau tahu tentang tanggungjawab?" Serius dia bertanya sambil memandang tepat ke arahku. Aku semakin gemuruh. Dapatku rasakan peluh di badan mula pecah membasahi bahagian belakang.

Penghawa dingin yang dipasang seakan tidak berfungsi. Aku menarik nafas. Berusaha mengurangkan rasa gementara dan gemuruh yang mula ingin menguasai diri.

'Tenang, kau mampu lakukannya.' Aku cuba menyakinkan diri.

"Definisi ke?" teragak-agak aku bertanya. Bila difikirkan kembali, kelakar pula pertanyaan itu.

"Tak kisah. Terpulang pada kau."

Aku mengerahkan idea mencari jawapan terbaik untuk menjawab pertanyaannya.

"Tanggungjawab ni, andai kita nak berikan pendefinisiaan padanya. Macam-macam kita boleh berikan. Sebab lain orang, lain pandangannya."

Dia terangguk-angguk. Aku berhenti seketika untuk meyusun kata-kata agar penjelasanku nanti mudah difahami.

Mungkin kerana aku mengambil masa yang agak lama bagi meneruskan ayat, dia menjongket kening.

"Namun, bagi saya semua itu tidak penting. Apa yang sebenarnya yang nak dilihat dan dinilai itu adalah cara bagaimana seseorang itu mampu menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan padannya. Sekadar tahu apa itu tanggungjawab, namun tidak faham apa yang perlu dilakukan tidak memberi apa-apa kesan kepada kepimpinan yang bakal dipimpinnya." terangku.

Aku mengerling padanya. Dalam keadaan bersandar, dia tundukkan sedikit kepalanya untuk mencatat sesuatu. Ada sedikit garis senyuman terukir di bibir namun tidak terlalu terserlah. Aku membetulkan dudukku dengan menegakkan sedikit tubuh. Setelah penjelasan tadi, sedikit sebanyak rasa gementar dan gemuruh dapat dikurangkan.

Dapat aku rasakan, muka aku tidak lagi terasa tegang akibat terlalu takut dan bibir tidak lagi terasa kering sehingga menyukarkan aku untuk mengukirkan senyuman. Dia berhenti menulis. Anak matanya di bawa ke atas. Mungkin dia sedang memikirkan sesuatu.

"Andai kau di tempat aku, orang yang macam mana yang akan engkau pilih... yang kau rasa benar-benar mampu galas tanggungjawab yang akan kau beri?" Satu persatu dia tuturkan ayat itu. Jelas dan terang di pendengaranku.

Sekali lagi, aku ditanya. Soalan yang nampak senang untuk dijawab. Boleh saja untuk aku kelentong dirinya. Namun aku memilih untuk tidak berbuat demikian. Bagi aku, aku merasakan ada sesuatu yang ingin dia lihat dan nilai daripada jawapanku itu nanti.

Sel-sel saraf otakku mula bersambung. Minda mula ligat mencari jawapan.

"Soal memilih siapa yang layak. Pasti saja saya akan memilih mereka yang ada rasa tanggungjawab, disiplin, komitmen, jujur, punyai ketangkasan berfikir dan lain-lain sifat yang menggambarkan dirinya adalah pemimpin."

Dia meleretkan pandangan padaku.

"Em, kau rasa... Semua sifat tu ada dalam diri kau?" Selamba dia bertanya. Aku terdiam. Pertanyaannya buat aku rasa terjerat. Terasa kejam sungguh dia padaku.

Bagaimanapun, aku sedar, aku tidak boleh menyalahkannya. Itu sudah menjadi kewajipannya dan juga dikira tanggungjawabnya untuk memilih orang benar-benar layak dan berkelayakan untuk memikul tanggungjawab yang bakal diberikan. Andai dia tersalah ataupun tersilap memilih maka dialah yang bakal dipersoalkan dan dipersalahkan jika yang dipilih itu tidak seperti yang diinginkan.

"Em, mungkin sedikit sebanyak sifat tu ada dalam diri saya namun masih perlu diperbaiki dan dipertingkatkan lagi. Yang tiada tu, insha-Allah, boleh dipupuk nanti." Dia menumpukan sepenuh perhatian pada penjelasanku.

Dia menyusun kertas yang kelihatan sedikit tidak terurus di atas meja. Setelah itu, dia membetulkan duduknya sambil tangan diangkat ke atas meja dan jari-jemari kedua-dua belah tangan disatukan.

"Kau tahu, ramai kat luar sana bila bercakap tanggungjawab, kencang mereka bersuara. Tapi bila masuk soal nak melaksanakannya, semua diam. Aku pernah rasa macam mana berada sebumbung dengan orang macam itu. Mereka pegang jawatan semata-mata nak nama dan populariti. Tak ada pun dalam diri mereka rasa tanggungjawab pada jawatan yang diberi. Bila berlaku masalah dalam kepimpinan, mereka mula menyalahkan pada yang lain. Mereka tak sedar, semua itu berpunca dari mereka. Orang macam inilah yang sebenarnya memusnahkan sesebuah organisasi. Orang macam inilah yang selalu membuat onar. Letakkan kepentingan diri mengatasi segalanya." Dia berkongsi.

Dari tutur katanya, aku dapat mengagak yang dia punya banyak pengalaman dan pernah berkerja dengan ramai orang. Kerana itu, dia mampu membuat penilaian sedemikian. Dia terus berkongsi. Aku memasangkan telinga. Adakala aku mengangguk sekadar memberi respon.

"Jadi, sekali lagi aku nak tanya kau..." Dia berhenti sejenak. Sambil memicitkan mata merenung ke arah aku. Kelakuannya buat aku rasa seram sejuk. Aku menanti penuh dengan tanda tanya.

"Kau sanggup pegang tanggungjawab ni?"

Aku terpaku. Pantas leret mata dilarikan dari terus memandang dirinya. Hati dan fikiran mula bersuara. Masing-masing mula bersoal sendiri.

'Mampukah aku?'

-tamat-


Nukilan : hidaynadhir
6.30 p.m