Cerpena : Redhamu, Bahagiaku

Nukilan : Hidayatun Nadhirah


Petang itu cuacanya sangat redup. Angin pantai sepoi-sepoi bertiup menjamah tubuh. Sungguh nyaman dan segar. Mampu membuatkan jiwa terasa tenang dan lapang. Namun itu semua tidak dirasainya. Apa yang dirasai ketika ini hanyalah kehangatan amarahnya.

Dia berjalan sambil kakinya berkali-kali menyepak tin kosong sehingga menyebabkan tin itu melantun-lantun tidak terarah.

Bicara ibunya masih terngiang-ngiang di telinga. Hatinya membentak mengenangkan kata-kata itu.

"Hanif, kamu berhenti sekolah sahaja laa nak."

"Tapi ibu... Hanif nak bersekolah lagi."

"Kamu kan tahu kita ini susah. Ibu dah tak mampu nak menampung yuran pengajian sekolah kamu."

"Jika itu masalahnya, ibu jangan risau. Hanif boleh cari wang sendiri. Dengan wang itu dapatlah Hanif tampung yuran sekolah." Hanif cuba menyakinkan ibunya.

"Kamu tidak kesiankan adik-adikmu? Ibu hanya mampu harapkan kamu sahaja. Kamu anak sulung, satu-satunya anak lelaki dalam keluarga ini. Kamu juga masih sihat dan punya tenaga yang kuat. Ayah kamu sudah tidak mampu buat segalanya. Kudratnya sudah terhakis."

Dia diam. Terpukul dengan kata-kata ibu. Dia ingin menjawab namun lidahnya kelu untuk bersuara. Memang benar kata ibu. Dialah satu-satunya lelaki yang masih  berbaki dalam keluarga ini, yang masih punya tenaga kudrat yang kuat untuk menggalas tanggungjawab. Mahu atau tidak dia perlu mengakuinya.

Ayahnya sudah tidak mampu lagi mengalas tugasnya selaku ketua keluarga sejak kaki dan sebahagian badannya disahkan lumpuh selamanya akibat terlibat dalam kemalangan di tempat kerjanya dua tahun yang lalu. Maka sejak dari itu, segala tanggungjawab ayah semuanya terpaksa ditanggung oleh ibu. Ibulah yang terpaksa berkerja siang dan malam. Memberi makan minum mereka sekeluarga.

Dulu ibu langsung tidak merungut tentang hal ini. Namun sejak kebelakangan ini, ibu sering kali mengeluh atas kesempitan yang dialami.

Dia tidak menyalahkan ibunya. Walaupun ibu berkerja sekeras manapun tetap jua dia seorang wanita yang punya keupayaan yang terbatas.

"Tanggungjawabmu membela keluarga ini maka tunaikannya, Hanif. Kau dah besar, dah mampu berfikir" Kali ini tutur kata ibunya kedengaran tegas.

Dia senyap tidak mampu bersuara. Cukup dengan ayat terakhir yang diungkap oleh ibunya buat dia terdiam kehilangan kata-kata.

'Emak kenapa emak tidak terfikir dengan ilmulah kita dapat mengubah kehidupan kita ini. Dengan ilmulah kita dapat bebas dari kesempitan hidup yang menyeksakan ini. Dengan ilmulah kita tidak lagi dipandang rendah. Dengan ilmulah, Hanif dapat membela keluarga ini.' Hatinya bermonolog sendiri.

Dia benci dengan hidupnya kini. Semakin hari, semakin banyak masalah yang perlu ditempuhnya. Dan masalah itu seakan tidak pernah surut mendatangi dirinya sekeluarga.

********

Sudah jauh dia berjalan membawa bersama lara di jiwa. Kakinya sudah lenguh kerana terlalu lama melangkah. Jadi, dia mengambil keputusan untuk berteduh sambil menghilangkan penat berjalan.

Di sebuah pondok tidak jauh dari pantai, dia duduk di atas bangku yang terdapat di situ sambil kakinya terjuntai ke bawah menguis-guis pasir pantai.

Suasana petang yang tenang bersama bunyi ombak yang menyentuh persisiran pantai sedikit sebanyak menyentuh jiwanya. Seketika kecelaruan yang bermain di fikiran dapat diusir. Dia cuba mendalami suasana.

Mata ditutup sambil tangan didepa seluas-luasnya. Angin pantai menerjah masuk ke ruang pernafasan. Nafas dihela bersama keluhan. Dan akhirnya pandangan dilemparkan jauh ke pantai.

"Jauh termenung." Tegur sesorang dari arah belakang.

Hanif tersentak. Lekas dia berpaling. Di belakangnya, kini berdiri seorang lelaki yang berpakaian kemas. Gayanya seperti orang berada. Hanif memerhati dari atas ke bawah. Melihat pada wajah lelaki itu seperti pernah dikenali. Namun Hanif lupa siapa gerangannya.

“Masih ingat abang lagi?" Soal lelaki itu ingin tahu.

Terkebil-kebil Hanif memandang. Sekali lagi dia cuba mengamati wajah lelaki itu.

"Eh! Abang Fahmi." Akhirnya Hanif dapat mengecam siapa lelaki itu. Bingkas dia bangkit. Mereka berjabat. Berpelukkan. Erat. Masing-masing melepaskan rasa rindu yang telah lama dipendam memandangkan hampir lima tahun mereka tidak bersua.

“Ingat kau dah lupa abang, Nif.”

“Haha, sudah tentu tidak. Cuma tadi tu tak cam saja. Sebab… penampilan abang nampak lain sangat. Saya ingatkan orang kaya mana lah tadi yang sapa saya” Ujar Hanif sambil ketawa kecil. Fahmi turut ketawa.

“Ada-ada saja kamu ni Hanif. Kau apa khabar? Sihat?" Tanya Fahmi sambil meletakkan tangannya di bahu Hanif.

"Alhamdulillah. Macam biasa bang, sihat. Abang macam mana? Sihat? Bila abang pulang?"

"Alhamdulillah, abang sihat. Abang baru sampai semalam."

"Oh ya ke... Abang pulang ni buat apa kat kampung?" soal Hanif sambil duduk di tempatnya tadi. Fahmi ikut serta duduk.

"Saja nak ziarah kampung. Lama sangat tak balik." jawab Fahmi. Dia tersenyum.

Hanif mengangguk-angguk. Seketika dia diam sambil melontarkan kembali pandangan ke pantai.

"Em, Abang tengok dari tadi kau ni asyik termenung? Fikirkan apa? Ke ada masalah?" tanya Fahmi. Hanif tersenyum  tawar. Dia tidak menjawab pertanyaan itu.

Fahmi merenung tepat pada rauk muka Hanif. Cuba membaca apa sebenarnya menganggu fikiran anak muda itu.

"Kalau rasa berat sangat nak tanggung, apa kata kau kongsikan saja pada abang. Manalah tahu abang dapat membantu." santai Fahmi bersuara. Dia dapat mengagak pasti Hanif sedang cuba untuk menyembunyikan sesuatu. Walaupun sudah lima tahun dia meninggalkan Hanif, itu tidak bermakna dia lupa segalanya tentang Hanif. Dia kenal benar Hanif.

Dulu, sebelum Fahmi berhijrah ke ibu kota. Hanif seringkali berkongsi cerita hidupnya ataupun masalah yang dihadapi pada Fahmi.

Bagi Fahmi, Hanif sudah dianggap seperti adiknya. Segala macam jenis masalah yang pernah hadapi Hanif, dia tahu. Walaupun Fahmi cuba sembunyikannya, tetap dia akan cuba membongkarkannya. Dia tahu Hanif tak mampu nak berbohong padanya jika ditanya berkait masalah. Fahmi bukan berniat untuk menyibuk atau mencampuri hal hidup Hanif. Niatnya hanya sekadar membantu meringan beban perasaan yang ditanggung Hanif.

Dia juga tahu tentang kesempitan hidup yang dialami oleh keluarga Hanif. Mereka senasib. Jadi itu tidak menyukarnya untuk memahami situasi Hanif.

Tetapi sejak dia meninggalkan kampung halamannya ini, dia tidak lagi berhubung dengan Hanif. Kerana kesedihan masa lalu, dia ingin melupakan segalanya yang pernah dilaluinya ketika waktu silamnya. Secara tidak langsung, dia hampir melupakan Hanif.

Hanif berfikir panjang. Berkira-kira sama ada mahu menerima ataupun menolak tawaran Fahmi.

"Tak tahulah bang nak cerita dari mana. Yang pasti sekarang ni, saya rasa dah tak ada semangat nak teruskan hidup." Setelah lama berfikir akhirnya Hanif bersuara.

"Kenapa pula? Apa yang buat kau sampai hilang semangat ni. Setahu abang kau ni bukannya jenis yang cepat mengalah."

Suasana menjadi sunyi seketika. Hanif hanyut dalam perasaan sendiri. Kekecewaan yang dialami sungguh menghimpit jiwanya. Lama dia mendiamkan diri. Menyusun kata.

Akhirnya Hanif mengalah. Dia menceritakan segalanya yang telah berlaku. Bermula dengan bagaimana kehidupan selepas pemergian Fahmi ke kota. Bertukar pula cerita berkaitan kelumpuhan ayahnya. Seterusnya kesempitan hidup yang semakin membebankannya dan akhir sekali tentang impiannya.

"Abang masih ingat impian saya dulu?" Kini giliran Hanif bertanya.

Fahmi mengangguk. Dia dari tadi tekun mendengar. Sesekali, ada dia mencelah.

"Saya tak rasa impian tu akan tercapai bang. Harapan dah pudar. Segalanya dah hancur. Tak guna ada impian menggunung pun, kalau akhirnya hidup saya akan terus begini. Terus berada dalam lingkaran kemiskinan." Hanif meluah isi hatinya. Dia menundukkan mukanya. Sebak seketika.

Melihat keadaan Hanif, lekas-lekas Fahmi merapatkan dirinya kepada Hanif. Lalu memaut erat bahu anak remaja itu. Cuba menyalurkan kekuatan kepada Hanif.

Setelah mendengar cerita Hanif, tahulah dia betapa perihnya hidup Hanif dalam tempoh 5 tahun kebelakangan ini. Dia mula rasa bersalah kepada Hanif. Sepatutnya dia perlu ada di sisi Hanif. Membantu Hanif.

"Maafkan abang, nif."

"Abang tak bersalah pun. Memang ni dah nasib saya." perlahan-lahan Hanif bersuara. Nadanya kedengaran sedikit hampa.

"Kalau dah itu permintaan ibu kamu, abang rasa baik kamu ikuti saja apa yang disuruhnya."

"Tapi bang, secara jujur. Saya nak terus belajar. Kenapa ibu tak fikir semua tu? Kalau pun saya bekerja. Tambah-tambah berkerja kat kampung ni, berapa sangat yang saya dapat? Sama saja tak mampu nak ubah hidup kami sekeluarga."

"Habis tu, apa yang kau nak lakukan? Mahu ke ibu kota sama seperti abang?" Fahmi cuba menduga.

Hanif tidak bersuara.

"Jika terpaksa. Mungkin itu yang bakal saya lakukan. Lagipun, hanya jalan itu yang saya nampak sekarang. Dah ibu berkeras tak nak beri peluang saya belajar. Baik saya keluar saja dari kampung ini. Cari kerja di bandar" Kedengaran Hanif bertekad dengan keputusan baru yang dibuatnya.

Fahmi diam tatkala mendengar jawapan Hanif. Rasa menyesal pula Fahmi dibuatnya kerana bertanyakan hal itu. Dia senyap seketika untuk memikirkan nasihat terbaik yang dapat diberikan kepada Hanif.

"Jangan kerana marahkan ibu kamu, kamu nak tinggalkan kampung ini."

"Dah ibu juga yang nakkan saya bekerja." Hanif meningkah.

"Memanglah. Tapi bukan bermakna kamu perlu tinggalkan kampung ini. Kau tak boleh tinggalkan keluarga kamu, Nif. Kau tak boleh nak ikut jejak langkah abang. Kita tak sama. Kau masih ada tanggungjawab yang perlu kau pikul di sini."

Ya, mungkin dari segi hidup mereka senasib. Tetapi dalam hal ini mereka tidak sama kerana Fahmi merantau ke ibu kota setelah beberapa bulan pemergian kedua-dua ibu bapanya ke rahmatullah akibat terkorban dalam satu tragedi kebakaran lima tahun yang lalu.

Di kampung ini dia tidak punya sesiapa lagi memandangkan dia merupakan anak tunggal dan tidak punya saudara-mara. Maka di sebabkan itu dia merantau untuk menjalani hidup baru setelah kehilangan mereka yang dicintai di samping mengubah nasib diri.

Berbeza dengan Hanif. Dia masih mempunyai kedua-dua ibu bapanya yang perlu dijaga. Punya adik-adik yang perlu dilindungi dan dibela. Oleh kerana itu, Fahmi sama sekali melarang Hanif bertindak sama seperti dirinya.

Namun Hanif seperti berkeras dengan tindakkannya itu.

"Jika dah itu keputusan kamu. Abang tak boleh nak kata apa-apa lagi. Tapi hanya satu yang abang nak nasihatkan. Jangan nanti bila kau dah lakukan, baru kamu nak menyesal dengan tindakan kamu meninggalkan mereka. Kau kena ingat, jika kau hilang harta, kau boleh cari dan dapatkan kembali. Tapi kalau kau hilang keluarga, kau tak pernah mampu mencari dan mendapatkannya kembali." tegas Fahmi. Dia memandang ke arah Hanif. Merenung mata Hanif.

Hanif mengalihkan pandangan kearah lain. Dia tidak berani membalas renungan mata Fahmi.

"Kebahagiaan hidup kita sebagai seorang anak ni hanya mampu kita dapat bila kedua-dua ibu bapa kita redha ke atas kita. Tak guna suatu hari nanti andai kau mampu mengubah nasib diri keluarga kamu namun tindakkan kamu itu langsung tidak mendapat redha dari ibu bapa kamu." Kali ini lembut nasihat daripada Fahmi. Dia cuba untuk melenturkan hati Hanif.

Hanif hanya memasang telinga. Yang pastinya, hatinya kini disentak kuat oleh kata-kata Fahmi. Fikirannya mula mempertimbangkan apa yang telah dipertuturkannya sebentar tadi.

‘Benarkah aku mahu melakukan itu?’ Dalam hati, dia menyoal diri sendiri.

**********

Ketika ini, Mak Imah baru sahaja selesai mengangkat baju di jemuran. Sesekali dia menjenguk ke jendela kayu. Memandang ke arah jalan menanti Hanif yang masih belum-belum pulang lagi dari pagi tadi.

Dia mengeluh. Rasa bimbang mula menyelubungi perasaannya kini.

“Ke manalah kamu pergi ni Hanif.” Keluh Mak Imah.

“Imah…” Panggil Pak Sulaiman yang berada tidak jauh dari tempat Mak Imah berdiri.

“Ya, bang.” Cepat-cepat Mak Imah mendekati suaminya. Dia duduk bersila. Sopan tanda menghormati lelaki bernama suami.

“Ada apa bang? Abang lapar ke? Nak mandi? Atau abang nak apa-apa kah?” bertalu-talu pertanyaan ditujukan kepada Pak Sulaiman. Jelas menunjukkan keprihatinannya sebagai seorang isteri.

“Tak. Abang tak perlukan lagi semua itu.” Kata Pak Sulaiman sambil mengukirkan senyuman manis buat isterinya.

“Abang nak bercakap dengan Imah sekejap, boleh?”

Mak Imah mengangguk. “Cakap sajalah abang. Tak usah meminta izin.”

Seketika Pak Sulaiman mengunci bicara. Mak Imah di sisi masih setia menanti apa yang ingin disampaikan oleh suaminya.

“Abang tak nak Imah paksa Hanif berhenti belajar.” Lembut Pak Sulaiman memberitahu namun tetap di sebalik katanya itu ada ketegasannya.

“Tapi bang, kita tak mampu. Dengan keadaan…” Mak Imah mematikan kata-katanya. Dia tidak meneruskan bicaranya. Bimbang andai dia teruskannya juga nanti hati suaminya akan terguris. Lalu dia mengambil keputusan untuk tidak meneruskannya.

“Abang faham situasi Imah. Dan abang minta maaf kerana di sebabkan keadaan abang yang begini, Imah perlu tanggung keluarga kita.” Pak Sulaiman yang ketika ini sedang duduk bersandar di dinding menggerakkan tangannya lalu diletakkan pada pipi mulus isterinya.

“Abang jangan fikir macam tu.” Mak Imah membalas pegangan tangan suaminya.

“Abang tak nak, anak-anak kita marah ataupun membenci kita hanya kerana kita musnahkan impian dan harapan mereka. Imah kena tahu anak-anak zaman sekarang bukannya macam kita dulu yang boleh dipaksa untuk menurut. Mereka lain. Hanif ada harapan dan impian yang nak dicapainya. Berikan dia peluang untuk kecapinya.”

“Tapi bang, jika Hanif teruskan pengajiannya. Bagaimana dengan yuran pengajiannya? Yuran tu semakin meningkat. Imah tak dapat nak tampung. Lagipun, ketika ini hanya dia sahaja yang Imah rasakan dapat membantu Imah. Nak diharapkan pada Laila, Zulaika dan Syakirin, apalah sangat yang mampu mereka lakukan dalam usia sekecil itu.” Luah Mak Imah.

“Imah tak percaya Allah itu ada? Imah tak percayakan takdirkan-Nya” soal Pak Sulaiman.

Mak Imah diam. Mak Imah menundukkan pandangannya.

“Walaupun kita susah namun itu tidak bermakna Allah tak akan membantu kita. Kita kena yakin pada-Nya. Yakin Allah akan bantu kita. Kesempitan dan kesusahan yang dia berikan ini bukan kerana Dia benci kita tapi tanda dia kasih dan sayang pada kita. Dia nak kita kembali ke sisi-Nya. Nak kita dekatkan diri dengan-Nya. Nak kita kembali menangis dan mengadu pada-Nya. Bukannya untuk kita mengeluh dan menjauhi-Nya.” Berhemah Pak Sulaimah menasihati.

Tika ini, Mak Imah sudah tersedu-sedu dalam tangisan. Kembali insaf atas kekhilafan diri. Oleh kerana, kesempitan hidup dia jadikan alasan untuk memusnahkan impian anak sendiri. Kerana rendahnya ketahanan dan kurangnya kesabaran dalam diri buat dia mengeluh tatkala terus dihujani ujian Allah. Sepatutnya dia bersyukur bukannya mempertikaikannya.

**********

Seusai solat, dia masih di atas hamparan tikar sejadah. Duduk bersila sambil mencari ketenangan dan kelapangan jiwa. Gundah di hati masih lagi berlagu. Kata-kata Fahmi masih segar di mindanya. Masih bermain-main di telinganya.

Tup…tup…tup.

Pintu bilik diketuk dari arah luar. Hanif hanya memerhatikan sahaja pintu itu ditolak perlahan-lahan.

Kelihatan Mak Imah sedang berdiri di hadapan pintu. Dia menyusun langkah mendekati anak lelakinya itu. Senyuman yang menenangkan diberikan buat Hanif. Hanif membalas senyuman itu namun hanya dengan senyuman yang dipaksa-paksa. Dia tidak mampu menafikan bahawa hatinya masih terguris dan terkesan dengan kata-kata ibunya.

Mak Imah duduk bersila di sisi anak sulungnya itu. Perlahan-lahan tangannya diangkat mengusap lembut rambut Hanif.

Hanif membiarkan sahaja. Saat tangan seorang ibu menyentuh lembut ubun-ubun anaknya, Hanif mampu merasakan kasih sayang ibunya laju mengalir ke dalam dirinya. Hatinya lentur hanya kerana sentuhan itu.

            “Hanif masih marahkan ibu?” Mak Imah menatap wajah Hanif. Hanif tidak menjawab sebaliknya menundukkan mukanya.

Suasana menjadi sunyi. Yang kedengaran hanyalah bunyi kipas usang yang berputar lemah dan bunyi cengkerik di luar rumah.

            “Maafkan ibu nak. Ibu akui, ibu silap. Ibu tak patut paksa kamu.” Mak Imah diam. Matanya kini berkaca. Dia menahan tetapi akhirnya kalah jua diamuk perasaan.

Hanif mengangkat wajah ketika mendengar ada esakan dari ibunya. Bingkas dia menggerakkan dirinya mendekati ibunya. Dia menyapu titisan air mata di pipi ibunya. Dia dilanda rasa bersalah dan berdosa kerana disebabkan dia ibunya menangis.

            “Ibu tak bersalah. Hanif yang bersalah. Sepatutnya Hanif kena faham situasi ibu.” Ujar Hanif bersama tangisan.

Mak Imah mengapai tangan Hanif yang masih melekat di pipinya. Menggengam erat tangan itu.

            “Teruskan impianmu nak. Ibu takkan larang. Ibu izinkan kamu kejar cita-citamu.” Kata Mak Imah sambil mengusap pipi Hanif.

            Hanif menggeleng-geleng.

“Tak ibu. Hanif akan bantu ibu. Tak mengapalah jika Hanif terpaksa berhenti sekolah pun. Asal ibu, ayah dan adik-adik bahagia, Hanif akan turut bahagia. Hanif akan turuti semuanya yang ibu mahu Hanif lakukan.” Kini hatinya benar-benar redha. Andai ini sudah ditakdirkan buatnya, dia terima. Tidak mengapalah andai impiannya hilang, asalkan dia tidak kehilangan keluarga yang dicintai.

“Jangan Hanif. Jangan kerana ibu engkau musnahkan segala impian yang pernah engkau wujudkan. Pergilah kejar dan capai impian itu. Ini harapan mak dan ayahmu. Jangan hampakan kami.” Tegas Mak Imah.

Tangisan Hanif kian mengendur. Tika mendengar bicara ibunya, dia merenung ibunya. Mata mereka bertaut. Ibu mengangguk membenarkan apa yang baru dikatakannya.

"Mak redha andai Hanif teruskan impian Hanif ?” Soal Hanif untuk mendapatkan kepastian.

Sekali lagi Mak Imah mengangguk. Tanda redha. Hanif terus memeluk erat ibunya. Air mata kian laju kembali membasahi pipi. Teresak-esak dia dalam dakapan ibunya.

“Terima kasih, ibu. Hanif janji akan capai impian itu. Hanif janji akan bela keluarga kita ini. Hanif janji akan ubah hidup kita ini.” Janji Hanif dalam keadaan suara yang terserak-serak. Dia masih dalam pelukkan ibunya.

Mak Imah menepuk-nepuk lembut belakang anaknya. Dia mengeratkan lagi pelukkan anaknya itu. Malam itu malam yang sungguh syahdu buat dua beranak itu. Malam yang mengusirkan segala gundah di hati. Menggantikannya dengan pancaran sinar pelangi di hati.

                                                                           
                                                                        -TAMAT-