Cerpena : Bila Tiba Waktunya


“Kau ni peliklah. Rupa dah ada tapi still nak single. Kat luar sana ramai budak perempuan yang gilakan kau. Takkan satu pun kau tak berkenan.”

”Come on laa… Hariz. Ni bukan zaman sekolah yang ada larangan untuk bercinta. Kau sekarang kat universiti. Kau boleh buat apa yang kau suka. Kau kena open-minded sikit. Kau tak boleh macam dulu. Dunia dah berubah, kau pun kena berubah juga.”

“Tak payah, syadid sangatlah Hariz. Tak pasal-pasal sampai ke tua kau membujang.”

                Dia hanya sekadar tersenyum. Malas nak melayan dan membalas kata-kata teman-temannya. Dia terbiasa.Hal percintaan sering menjadi topik perbualan mereka. Mungkin disebabkan usia mereka yang kian berganjak dewasa dan suasana persekitaran yang kini bebas untuk melakukan apa sahaja menjadi antara faktornya.

Walau bagaimanapun, dia bukan tergolong daripada mereka. Buat ketika ini dia tidak mahu memusingkan kepala memikirkan perkara itu lagi. Baginya perkara yang belum tiba masanya tidak perlu difikirkan lagi. Cukuplah dia kejar apa yang patut dia capai terlebih dahulu.

Bukannya dia langsung tidak punyai perasaan untuk dicintaI dan mencintaI. Semua itu adalah fitrah manusia. Jauh di sudut hatinya, ada keinginan untuk merasai apa yang mereka rasai kini namun baginya ia masih terlalu awal.

                Berkaitan cinta, dia ada pendiriannya sendiri. Dia tidak kisah sekiranya dia dianggap kolot, kampungan ataupun syadid. Asal dirinya bahagia dan hatinya tenang.

Buat ketika ini …
                                Dia tak nak hatinya tercemar.
                                Dia tak nak hatinya terlalai dan terleka.
                                Dia tak nak hatinya buta.
                                Dia tak nak hatinya mati.

Hanya disebabkan oleh permainan cinta yang bersifat sementara.

Saat teman-temannya memilih untuk bercinta. Dia pula memilih untuk bersabar.  Bersabar sehingga tiba waktunya untuk dia merasai cinta yang benar-benar halal baginya.

Terkadang dia terkilan melihat ada antara sahabat-sahabatnya yang suatu ketika dahulu turut menjalani proses tarbiah bersamanya ketika di alam persekolahan namun setelah menjejak kaki ke alam universiti, mereka hanyut dengan cinta. Mereka tertipu dengan cinta sehingga sangguh membiarkan diri terjun ke lembah maksiat.

Sedih apabila mengenangkan perubahan yang berlaku kepada mereka. Inilah yang dikatakan kejutan budaya.

Sebagai seorang sahabat, dia hanya mampu menasihati apa yang perlu dan sekiranya itu masih belum mampu membuka hati mereka maka dia hanya mampu berdoa. Siapa ingin melihat sahabatnya yang lain terus terbelenggu dan tertipu hanya kerana cinta.

Itu tidak dikira lagi dengan teman-teman yang baru dikenali. Yang tidak pernah mengenali dan mengikuti proses tarbiah.

Bagi mereka, mereka sudah terbiasa bercinta sejak di awal usia remaja lagi. Mereka menganggap cinta yang mereka semai itu tulus dan suci. Namun jelas ia bertentangan dengan apa yang diajar dan diterapkan dalam islam. Cinta yang sebenar adalah cinta yang meletakkan Allah mengatasi segalanya.

Saban waktu, dia melihat dan memerhatikan tingkah laku manusia di sekelilingnya. Ada antara mereka yang bersungguh-sungguh mengejar cinta manusia sehingga lupa mengejar cinta Sang Pencipta. Ada yang terleka dengan cinta sehingga lupa asal usul penciptaan mereka. Malah ada juga yang kecewa dan berduka kerana cinta sehingga sanggup mencederakan diri sendiri.

Bermacam-macam lagi jenis manusia yang ditemui yang begitu mengagung-agungkan cinta manusia. Dan baginya, cukuplah belajar daripada pengalaman mereka, bukan memilih jalan yang sama untuk belajar.

Soal jodoh dan pertemuan, dia yakini janji Allah sebagaimana sabda baginda Rasulullah SAW:
“Ketika ditiupkan roh pada anak manusia tatkala ia masih di dalam perut ibunya sudah ditetapkan ajalnya, rezekinya, jodohnya dan celaka atau bahagianya di akhirat”.

Maka buat ketika ini dia merasakan tidak salah baginya menolak untuk tidak memikirkan lagi soal tersebut. Bukan mengabaikan tetapi lebih kepada menangguhkannya buat seketika waktu.

Bila tiba waktunya akan dia usahakan sebaik mungkin untuk meraihnya.

Bila tiba waktunya akan dia buktikan hikmah sebuah kesabaran.

Bila tiba waktunya akan dia tunjukkan keindahan cinta apabila Allah menjadi tujuannya.


-HN-

Bebaskan Dirimu


Duhai muslimah,
Mengapa egkau harus mengikat diri
pada sesuatu yang belum tentu mampu engkau miliki?

Duhai muslimah,
Mengapa engkau harus rantai  diri
sehingga menyebabkan dirimu kaku untuk melakukan sesuatu?

Duhai muslimah,
Bebaskan dirimu dari terus terbelenggu dengan semua ini.
Jadikan dirimu umpama burung yang terbang bebas,
Terbang bebas merentasi angkasa raya.

Duhai muslimah,
Sekiranya engkau biarkan dirimu
terus terbelenggu pada sesuatu yang masih dalam kesamaran
ketahuilah bahawa kemungkinan besar derita perlu engkau tempuh.

Jadi,
Pilihlah yang mana satu yang engkau
rasakan terbaik buat dirimu.

Sedarilah,
Dalam kita menyangka diri kita sedar
tetapi hakikatnya kita masih lagi terlena.


Cerpena : Dia Seorang Penulis


Dia merengus. Geram bercampur rasa tersinggung. Kata-kata mama lewat petang tadi bagaikan sembilu menyiat-nyiat hatinya.

“Kamu ni nak jadi apa? Bila disuruh sambung belajar, kamu main-main. Buat tak endah je apa yang mama katakan… nasihatkan. Kamu ni langsung tak ikut jejak abang dan kakak kamu. Mama penat dah nak fikir pasal kamu. Kalaulah kamu tetap macam ni, sampai bila-bila kamu akan gagal !”

Dia berkurung dalam bilik. Puas dia menangis. Dia menangis sendirian. Hendak diluahkan, tetapi pada siapa?

Jika kakak dan abangnya ada di sisi pasti pada mereka dia akan mengadu. Namun, mereka kini jauh di perantauan. Dia bersendirian. Tiada siapa yang dapat memahaminya?

Dia dah bosan. Padanya, ibu bapanya hanya tahu memaksa agar dia melakukan sesuatu mengikut aturan mereka. Langsung dia tidak diberi peluang untuk bertindak mengikut acuannya sendiri.

Dulu, dia pernah menyambung pelajaran di salah sebuah institusi pengajian tinggi swasta. Itu pun atas desakan mamanya. Bidang yang dipelajari langsung tidak padan dengan jiwanya. Dia ada minatnya sendiri namun terkubur kerana terpaksa akur kepada keputusan ibu bapanya.

Sejak itu juga, keinginan belajarnya hilang. Dia hilang fokus pada pelajaran dan akibatnya dia kecundang dipertengahan pengajian.

Dia bukanlah manusia yang miliki kelebihan dan nasib yang sama seperti abang dan kakaknya. Mereka beruntung. Mereka dianugerahkan akal yang luar biasa. Kepintaran yang dimiliki menjadikan mereka disanjung, disayangi dan dikasihi. Juga  membolehkan mereka berdiri tinggi.

Dirinya? hanya sekadar mampu mendongak dari bawah. Jauh perbezaannya daripada mereka. Bagai langit dan bumi.

Mungkin sudah nasibnya. Hendak ditangisi. Tiada guna baginya. Yang pasti itulah takdir yang telah diperuntukkan kepadanya. Dia bukanlah manusia yang suka mempersalahkan takdir dengan mengutuk Sang Pencipta takdir.

Dia masih lagi miliki kewarasan. Masih lagi ada iman yang menyalupi sanubari. Bukannya dia pasrah sebulatnya pada nasib diri. Sudah dia usahakan. Hakikat kehidupannya sudah ditakdirkan sebegitu.

Dia menarik kerusi. Termenung seketika sebelum membuka laci meja menarik sebuah buku yang berbalut cantik. Buku itu adalah diarinya. Menjadi teman buatnya mencurah isi hati.

Dia membelek-belek buku itu. Helaian baru dibuka. Pen diambil dari bekas pensil. Pen mula digerakkan di atas helaian kertas.

Perkara yang akan dan sering dia lakukan saat jiwa dihambat pelbagai rasa, gembira ataupun duka adalah meluahkan segala isi hati di dalam diari itu.

Ada kalanya, dia akan mengolahkannya dalam bentuk sebuah penceritaan. Selepas itu, dia taipkan semula nukilan itu dalam komputer ribanya. Disimpan di dalam satu fail khas.

Begitulah yang dilakukannya. Pada awalnya, hanya sekadar suka-suka. Namun setelah lama, perilaku itu seakan-akan sebati dalam hidupnya. Dia menyukai penulisan. Dia menulis untuk memuaskan hatinya sendiri. Dia puas. Senang. Setelah itu, dia akan membaca kembali hasil nukilannya sendiri.

Dia menghela nafas lega. Buku diari itu ditutup dan dikembalikan ditempatnya. Dia menghempas badan di atas katil. Memandang siling bilik dan akhirnya dia terlelap.

Bingkaian Kenangan

Menjadi salah satu ahli badan beruniform memang tidak menyenangkan. Serius !
Sebab aku sendiri merasainya... so aku tahu betapa perihnya perasaan mereka yang senasib denganku. 

Bayangkanlah, orang lain bila hujung minggu boleh laa rehat-rehat hilangkan stress tapi kami yang terlibat dengan badan beruniform ni tetap juga ada kelas. Berpagi-pagi, kalau yang kena kawad tu... nasib laa.  Lagi power bila bertemankan sinar sang suria di pagi hari..Fuhh, memang mampu mengelegak otak tika tu.

Namun, walaupun perih waktu yang dilalui sepanjang bergelar ahli badan beruniform...sejujurnya, aku tak pernah rasa menyesal menyertainya. Dan rasa macam jatuh kasih pulak pada unit koko yang aku sertai. :D
PANDU PUTERI SISWI (DIPLOMA)
Terlalu banyak perkara yang aku pelajari sepanjang menyertai kursus ni. Begitu juga dengan pengalaman baru diperoleh. Boleh dikatakan berbaloi dengan masa yang dikorbankan.

Bagi aku, setiap aktiviti yang dijalankan dalam Koko yang aku sertai.. semuanya menarik dan tak laa terlalu lasak... dah nama pun Pandu Puteri memang kebanyakkan aktiviti yang dilakukan mengambarkan sifat kewanitaan.

Aktiviti yang paling aku suka dalam pandu puteri, 'Permainan Luas'. Dalam permainan ini, benda first yang kami perlu buat... sediakan tanda mengesan yang akan digunakan untuk bergerak dari satu stesen ke satu stesen yang lain. Dan di setiap stesen tu, kami perlu sediakan tugas untuk dilakukan.

Lepas siap tanda mengesan, kami mencabut undi untuk mengetahui stesen dari kumpulan mana yang perlu kami lalui. Setelah melalui semua stesen, di stesen terakhir semua kumpulan akan berkumpul untuk melaksanakan setiap tugasan yang telah ditetapkan. Markah akan diambil untuk setiap tugasan.

Selain aktiviti ini, kami juga ada menjalankan aktiviti mengembara sambil berbasikal ke Pantai Teluk Ketapang. Fuhh, letihnya berbasikal memang tak terkata. Sakit segala urat sendi. Nasib baik, best.


Kat pantai, kami buat khidmat masyarakat... bersihkan kawasan sekitar. Setelah itu, kami jalankan aktiviti sukaneka. Antaranya,' Gerbang Ukhwah' ...aktiviti yang kumpulan aku cadangkan... haha.
Menjelangkan waktu petang, kami kembali ke kampus.




Segala macam yang aku lalui dan lakukan dalam pandu puteri memang menyeronokkan dan menghiburkan. Namun kini, ia dah berakhir. Semua yang dilalui kini telah bertukar menjadi kenangan. Kenangan yang sangat indah dan bermakna.

Bila waktu itu telah jauh
meninggalkan aku,

Saat itu aku sedar yang
waktu itu telah berada
dalam bingkaian kenanganku.

setiap detik lalu yang dialami,
kini hanya mampu terimbas
di fikiran tak terlihat di
pandangan.

realiti, aku telah jauh
meninggalkan waktu itu

Selamat tinggal Pandu Puteri. Jika ada jodoh berjumpa lagi masa degree nanti ... kalau jodoh laa ... haha... 

tatata...